About

Friday, June 30, 2023

Travelog haji Sarah ~ hari ke 4

Keadaan dalam khemah kami di Arafah

Ini rombongan wanita kami. Di Arafah waktu malam. Waktu siang tak dak gambar.

Ini adalah tilam yang disediakan pada kami ketika di Arafah. Kecil sahaja tapi ok Alhamdulillah selesa. Saya letak kain batik- hygiene hehe
Ini lunch kami di Arafah. Nampak biasa je. Tapi sedap sangat. Alhamdulillah.
Ni gambar kami dah malam. Masih di Arafah baru bangkit tidoq masing2 hehe
Ini pula gambar kami ketika mabit di Muzdalifah. 


Hari ke 4.

Sememangnya jika tiada kesusahan tidaklah ia dinamakan haji kan. Kesusahan yang dilalui ini saya niatkan ia menjadi saham untuk mendapat haji yang mabrur.

Kerana kami haji furada, tempat kami bersama orang-orang furada seluruh negara. Kami ditempatkan dikhemah yang lain bukan khemah kami pada asalnya. 

Alhamdulillah makanan disediakan. Bahkan berlebihan. Cuma toiletnya jauh. Toilet yang dekat, portable. Saya kurang minat. Rezekinya tilam saya depan aircond. Alhamdulillah.

Owh ya, hari ini 27/6/2023 kami menyempurnakan kemuncak haji iaitu wukuf di Arafah. Bahkan doa ketika wukuf diangkat oleh Allah taala. Jika doa itu baik untuk kita, Allah akan makbulkan pada waktu dann masa yang Allah rasakan terbaik buat kita.

Panas ketika wukuf ini sangat luar biasa. Bahangnya masyaAllah. Falsafah wukuf ini adalah gambaran kecil keadaan kita di padang mahsyar. Jika padang mahsyar mataharinya sejengkal dari kepala, di wukuf jauh di atas langit sana. Tapi, yang jauh melangit sana itu tetap terasa bahangnya. Semua orang hidup tidak senang. Ada yang sudah buka tudung (dalam khemah), ada yang sudah tunjukkan perangai pentingkan diri dan sebagainya. Insaflah saya melihat situasi “kelam kabut” semua orang. Kerana ketika kiamat berlaku semua orang akan kelam kabut dengan diri masing-masing.

Golden hours ketika wukuf itu saya cuba habis baik manfaatkan. Memulakan bacaan doa dengan membaca doa yang dikirimkan oleh sanak saudara, adik beradik dan kawan-kawan. Alhamdulillah. Tertunai permintaan semua. Berzikir dan bersilraturrahim dengan semua yang ada dalam khemah. 

Wukuf ketika kami dari jam 12.03 tengahari sehingga jam 7.03 malam. Oh ya sekarang musim panas. Jadi siangnya lebih panjang. 

Kami usaha berdoa diluar khemah. Tapi tiada tempat yang sesuai sebab sekitar kami terlalu kotor dengan sampah. Jadi jalan terbaik yang dirasakan tenang untuk berkomunikasi dengan Allah adalah dalam khemah. 


Selesai wukuf. Kami solat maghrib dan isyak. Dan menunggu untuk mabit di Muzdalifah. Jam 12 malam kami bergerak ke Muzdalifah untuk menyempurnakan wajib haji. Kami berjalan dari Arafah ke Muzdalifah. Sampai sana. Pakat solat tahajud dan mula mengutip batu untuk jamrah. Kemudian menunggu subuh. 


Tuesday, June 27, 2023

Travelog haji Sarah ~ hari 3

Hari ketiga kami di bumi Makkah (26/6/2023)

Hari ini aktiviti kami di tempat penginapan. Ia bagi memberi ruang berehat sebelum memulakan ibadah haji.

Kami akan pergi selama 5 hari. Maka persiapan pakaian dan beg khas dilakukan. 

Ujian Allah hadir apabila saya dilanda sakit kepala yang teramat sangat. Puas tidur bangun tidur. Buh papermint dan bam. Ubat homeopathy juga. Detik2 akhir nak berangkat kepala masih belum pulih, dengan niat kerana Allah saya pun makan actifast, bismillah.

Selang beberapa minit perut memulas. Dan CB. Dan begitulah kalau makan panadol. Badan saya tidak sesuai. Tetapi itu ikhthiar terakhir saya. Alhamdulillah ketika menaip blog ini, sakit kepala beransur ok.

Jam 6 kami keluar ke tempat pengumpulan. Disini kami menunggu sehingga bas kami sampai untuk bawa kami ke Arafah.

Cuaca? 36’c panas dan angin kering. InsyaAllah okey semua. Ikhlaslah kerana Allah.

Masih sabar dan tenang dengan zikrullah menunggu turn kami naik bas. 

Duk dalam kawasan menunggu bas. Hotel sebenarnya.
Sedang menunggu teksi untuk ke pusat pengumpulan utk menaik bas ke Arafah
—————————————

Monday, June 26, 2023

Travelog haji Sarah ~ hari 2






25.6.2023 bersamaan 6 Zulhijjah 1444H iaitu hari kedua kami berada di Mekah.

Memulakan hari ini dengan subuh dibilik. Kemudian sarapan pagi. Pastu berehat. Ada berzikir, ada baca al-Quran, ada pack baju untuk ke Arafah dan ada yang baca buku. Yang terakhir itu saya lah.

Rencananya hari ini kami hendak tunaikan tawaf qudum dan Saie haji. Kami memilih sebelah petang. Jadi dari hotel kami naik van. Kemudian van turunkan kami dan kami pun berjalan masuk ke masjidil haram.

Perasaan yang sama. Alhamdulillah, masyaAllah. Bersyukur direzekikan lagi untuk sampai ke rumah Allah ini. 

Selesai tawaf qudum, azan maghrib. Memang selepas solat akan ada solat jenazah. Selepas maghrib, kami hendak terus saie haji. Kebetulan ketika mencari suami, terjumpa kawannya. Maka saya lah penunjuk arah ke kawannya.

Habis jumpa kawan suami, kami pergi jumpa kawan saya pula. Iaitu di permulaan bukit Safa. Maka bermulalah kami melakukan saie. Sempat bergambar dan beri kiriman suaminya.

Kemudian kami teruskan saie. Sehingga pada kali kelima kami terus stop kerana azan kedengaran. Menghormati azan sekaligus sebenarnya refleksi untuk diri kita, apakah kita mampu tinggalkan urusan dunia yang lain demi menyahut seruan Allah utk solat? Sekalipun urusan agama iaitu saie? 

Selesai solat isyak, kami sambung saie. Setelah selesai bergerak kami di tempat menunggu.

Ketika sedang menulis di blog ini, kami sedang “tersidai” sambil menunggu dua orang dari rombongan kami yang masih belum kelihatan. Apapun, Alhamdulillah terima kasih Allah atas nikmat ini. 

Sunday, June 25, 2023

Travelog Haji Sarah ~ hari 1









Alhamdulillah 24.6.2023 telah berangkat saya bersama suami untuk menyempurnakan rukun Islam ke 5, menunaikan haji di Baitullah.

Jam 1 lebih tengahari kami sudah sampai ke KLIA. Terus check in. Selepas itu, pergi lunch dengan mak, anak2, adik2, adik2 ipar dan anak menakan. Usai lunch, jama zohor asar. Kemudian menanti mak mertua dan adik ipar sampai sebelum kami bergerak masuk ke dalam.

Jam ketika itu pukul 4.10 petang. Selesai urusan dan masuk kenperut kapal terbang jam 5.30 petang. Dan jam 5.40 kapal terbang sudah mula bergerak untuk meninggalkan KLIA.

Perasaan berdebar dan terharu bercampur baur. Laibakallah humma labai labaikala syarikalakalabbaik.

Kami naik Saudia Airline. Alhamdulillah kami miqat haji dan ihram. Maka jadilah kami haji ifrad. Nak buat haji qiran. Its okey.

Alhamdulillah kami sampai airport Jeddah jam 2.00 pagi waktu Malaysia bersamaada. Jam 9.51 waktu Jeddah. 

Ketika menaip di blog ini kami sedang menuju ke penempatan kami. Yang jaraknya 50km dari airport. Alhamdulillah ala kulli hal.