About

Monday, June 29, 2009

PESANAN BUAT DIRI DAN SEMUA

Daripada Abdullah bin Mas'ud ra katanya, Rasulullah saw bersabda "tidak boleh iri hati selainkan dalam dua perkara iaitu seseorang yang telah dikurniakan Allah harta lalu dihabiskan hartanya itu kejalan yang benar dan orang yang dikurniakan oleh Allah ilmu pengetahuan, lalu ia mengeluarkan sesuatu hukum berpandukan dengan ilmunya (AlQuran dan Hadis) serta diajarkannya kepada orang lain. ( AlBukhori dan Muslim)

Thursday, June 25, 2009

AKAL : PENGGUNAANNYA OLEH GOLONGAN MUKTAZILAH

Perkataan Muktazilah berasal dari bahasa Arab إعتزل (i’tazala) yang bermaksud "meninggalkan", "menjauhkan diri". Ia merupakan satu dari cabang pemikiran dalam Islam yang terkenal bersifat rasional dan liberal. golongan muktazilah ini muncul sekitar tahun 105-110 hijrah. Muktazilah mempunyai 7 nama, iaitu al-Majusiyyah, al-Thanawiyyah, al-Wa’idiyyah, al-Mu’attalah, al-Qadariyyah, al-Lafziyyah dan al-Qabriyyah.
Kadang kala dikenali dengan al-Mu’attalah kerana: Mereka merupakan golongan yang menafikan Sifat Allah yang Qadim atau Allah hanya mempunyai Zat sahaja. Dinamakan mereka al-Wa’idiyyah kerana konsep al-Wa’d wa al-Wa’id menjadi salah satu daripada dasar mereka yang lima. Yang mana bagi mereka Allah wajib melakukan yang baik serta terbaik terhadap makhluknya. Al-Qabriyyah juga adalah nama bagi Muktazilah adalah kerana mereka menafikan ada azab kubur serta soalan Munkar dan Nakir. Antara alasan mereka ialah, ia tidak logik atau bercanggah dengan akal waras, seperti Malaikat Munkar dan Nakir yang besar tidak mungkin berada di dalam kubur yang sempit.

Terdapat perselisihan di kalangan sarjana Islam, kenapa mereka dinamakan Muktazilah. Menurut kajian al-Baghdadi, mereka dinamakan Muktazila kerana keadaan mereka terpencil daripada pendapat Islam yang umum. Mereka berpendapat, apabila seseorang melakukan dosa besar, hukumannya adalah antara iman dan kufur iaitu dia tidak beriman dan tidak pula kafir.

Muktazilah, suatu mazhab akidah yang memberi keutamaan kepada akal hingga akal memainkan peranan penting dalam menentukan hukum agama. Golongan ini menggunakan logik akal sebagai hujah, khususnya dalam memahami Al-Quran, Al-Sunnah serta untuk menangani isu akidah.

Memang ada hadith rasul yang menekankan bahawa, “Tidak ada agama bagi orang yang tidak berakal”. Namun akal manusia tidak dapat mengatasi perintah Allah dan Rasul kerana manusia dan akalnya dicipta oleh Allah. Adalah dipercayai bahawa konsep pegangan kaum Muktazilah menyelinap ke dalam akidah Islam akibat perbuatan orang-orang yang memeluk agama Islam dengan tujuan buruk.

Hal ini boleh berlaku sesudah Khalifah Al-Makmun mengizinkan kitab-kitab tamadun Yunani diterjemah ke dalam bahasa Arab. Maka fikiran ahli falsafah Yunani seperti Aristotel dan Plato dapat dipelajari oleh para cendekiawan Islam hingga tanpa disedari fikiran mereka bercampur baur dengan konsep kepercayaan Islam Yang Maha Suci.

Orang yang pertama dikaitan dengan Mazhab Muktazilah dikatakan bernama Wasil Bin Atha. Pada awalnya golongan ini tidak terlibat dalam pergolakkan politik. Namun, penglibatan mereka bermula apabila ada usaha dikalangan mereka yang mempengaruhi khalifah supaya berpegang pada fahaman mereka. Mereka berjaya menarik beberapa khalifah menjadi pengikut. Ketua-ketua negara itu juga bersedia membela dan menyebarkan fahamannya kepada rakyat. Antara khalifah yang mengikut fahaman ini adalah khalifah al-Makmun dan al-Muktasim.[1]
Wasil Bin Atha berasal dari kota Madinah daripada keturunan Mawali, bukan Arab. Setelah itu beliau berpindah ke Basrah dan tinggal disana sehingga ke akhir hayatnya. Sewaktu di Basrah beliau berguru dengan Hassan al-Basri, seorang ulama terkenal yang mendokong aliran Sunnah. Wasil bersetuju dengan Hassan al-Basri yang menyokong aliran Qadariyah iaitu mengenai kebebasan manusia bertindak. Setelah itu beliau tidak bersetuju dengan gurunya itu apabila gurunya menyatakan hukum orang yang melakukan dosa besar

Katanya jika pelaku dosa besar itu mati dan tidak sempat bertaubat sewajtu hidupnya dia masih dianggap seorang Muslim, tetapi Muslim munafik, dan di hari akhirat dia akan dimasukkan ke dalam neraka kerana dosanya itu. Setelah itu barulah di masukkan ke dalam syurga kerana Islamnya. Mendengar kata-kata ini Wasil dan pengikut-pengikutnya terus keluar kerana tidak bersetuju dengan gurunya itu. Berikutan peristiwa ini wasil dan rakan-rakannya di gelar Muktazilah ertinya orang yang mengasingkan diri.[1]

Sebenarnya, fahaman Muktazilah berpengaruh di kalangan beberapa orang khalifah selama kira-kira 300 tahun hingga ramai ulama yang enggan menyokong pendapat mereka menjadi mangsa penderaan dan hukuman yang zalim, di antaranya termasuklah Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Malik dan lain-lain.

Oleh kerana akal dianggap lebih utama daripada nas Al-Quran dan Hadith Rasul, maka ayat-ayat Al-Quran ditafsir menurut fahaman mereka sendiri. Bahkan hadith rasul ditolak jika kandungnya tidak selaras dengan logik fikiran mereka. Hakikatnya tidak dinafikan kedudukan penting akal manusia dalam urusan agama, tetapi tidak memberi tempat utama kepada akal berbanding dengan firman Allah dan hadith Rasul.

Memetik pandangan Ahl Sunnah, kekuatan akal manusia berbeza di antara seorang dengan seorang yang lain. Pertimbangan akal juga berbeza dari masa ke masa dan dari tempat ke tempat. Misalnya, pada suatu masa dahulu wanita yang mendedahkan auratnya dianggap tidak salah.

Kemudian bila akal manusia tambah maju wanita yang tidak berpakaian dianggap tidak baik, lalu tubuh wanita ditutup. Tetapi akhir-akhir ini wanita separuh tidak berpakaian di tepi pantai tidak dianggap salah.
Sebab itu akal manusia sahaja tidak boleh merumuskan hukum agama. Syariat Allah sahaja yang layak dan wajar membuat ketentuan dalam hukum agama. Akal

memang penting dalam agama. Orang gila memang tidak wajib melaksanakan suruhan agama, tetapi peranan akal hanya untuk menimbang dan meneliti, bukan menetapkan dengan sendirinya hukum agama. Golongan Muktazilah mentafsirkan ayat-ayat al-Quran menurut akal sambil meremehkan nas hadith dan pendapat para ulama muktabar.

Antara perkara-perkara yang menunjukkan golongan muktazilah menggunakan akal adalah dalam peristiwa Isra’ Mikraj. Oleh kerana akal diutamakan dalam urusan agama, kaum Muktazilah menolak peristiwa Israk-Mikraj, Rasullulah s.a.w. yang diperingati oleh umat Islam pada setiap 27 Rejab.[1]

Kaum Muktazilah hanya mengakui peristiwa Israk Nabi s.a.w. dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis, tetapi menolak Mikraj kerana Mikraj Nabi s.a.w. ke langit berlawanan dengan akal dan logik mereka.

Sebahagian ulama Muktazilah berpendapat bahawa Israk dan Mikraj berlaku dengan roh Rasulullah sahaja. Dan untuk menyokong pendapat mereka mencipta suatu hadith palsu kononnya Siti Aisyah pernah berkata beliau tidak pernah kehilangan tubuh Rasulullah s.a.w. sejak beliau menjadi isterinya.

Sebenarnya jika kita teliti firman Allah Taala dalam surah Israk, dapatlah difahami bahawasanya memang Allah Taala telah membawa Nabi itu sendiri untuk bertemu dengannya bukan hanya rohnya bahkan jasadnya sendiri.

Kalau difikir secara logiknya sekalipun, andainya baginda melakukan Israk Mikraj dengan rohnya sahaja tentulah kaum musyrikin tidak menentang hebat peristiwa itu dan menuduh baginda berdusta serta menyifatkan peristiwa itu sebagai kisah dongeng.
Selain dari itu, riwayat dari Siti Aisyah yang dibawa oleh kaum Muktazilah itu nyata palsu kerana Israk Mikraj berlaku setahun sebelum hijrah. Ketika itu isteri pertamanya baginda yakni Siti Khadijah telah wafat dan baginda berkahwin dengan Siti Saudah sebelum kahwin dengan Siti Aisyah.

Ini bererti ketika berlaku Israk Mikraj, Rasulullah tidak semestinya berada di rumah Siti Aisyah tetapi mungkin berada di rumah Siti Saudah. Maka adalah mustahil Siti Aisyah boleh berkata seperti yang dilaporkan oleh kaum Muktazilah itu pada hal Rasulullah s.a.w. tidak setiap hari berada di rumah Siti Aisyah.

Selain dalam peristiwa golongan Muktazilah menolah Mikraj nabi, kaum muktazilah berfatwa bahawa apa yang disebut sebagai Arasy dan Kursi Allah tidak wujud. Mereka menafsirkan Arasy dan Kursi sebagai lambang kekuasaan Allah sahaja.

Tafsiran seperti ini membuktikan bahawa kaum Muktazilah memahami urusan agama lewat akal mereka semata-mata. Sebaliknya ulama dari Ahli Sunnah berpendapat bahawa pa yang dikatakan Arasy dan Kursi Allah itu wujud kerana disebut oleh Allah di dalam Al-Quran, walaupun bentuk dan keadaannya diketahui oleh Allah sahaja.

Penerimaan golongan ini terhadap azab dalam kubur. Mereka berkata bahawa azab di dalam kubur tidak ada kerana hal itu mustahil menurut akal. Sebaliknya, pada hakikatnya azab kubur itu wujud dan wajib dipercayai oleh setiap mukmin berdasarkan nas al-Quran dan al-Hadith. Seperti firman Allah Taala dalam surah At-Taubah ayat 101. kaum Muktazilah menolah hakikat azab di dalam kubur kerana terlalu bergantung pada akal dalam hal ehwal agama pada hal hakikat ketuhanan dan alam ghaib tidak boleh ditimbang dengan akal yang skopnya amat terbatas.

Meskipun golongan ini salah dalam mentafsirkan ayat-ayat Allah kerana menggunakan akal semata-mata tetapi golongan ini telah memberi sumbangan pada masyarakat dalam ilmu sains, yakni merekalah yang telah memperkenalkan ilmu ini yang mana ilmu ini adalah memerlukan akal untuk mengetahui dengan lebih mendalam.

Wednesday, June 24, 2009

"suatu persoalan yang perlu dirungkai.. hayati kisah ini"

Seorang Pengarah yang tersohor jatuh di kamar mandi dan akhirnya diserang ‘stroke’. Sudah 7 malam dirawat di hospital di bilik ICU. Di saat orang-orang terlelap dalam mimpi malam, dalam dunia roh seorang malaikat menghampiri si Pengarah yang terbaring tak berdaya.

Malaikat memulakan perbicaraan, “Kalau dalam waktu 24 jam ada 50 orang berdoa untuk kesembuhanmu, maka kau akan hidup. Dan sebaliknya jika dalam 24 jam jumlah yang aku tetapkan belum dipenuhi, itu bererti kau akan meninggal dunia!” “Kalau hanya mencari 50 orang, itu sangat mudah”. kata si Pengarah ini dengan yakinnya.

Setelah itu malaikat pun pergi dan berjanji akan datang dalam 1 jam sebelum batas waktu yang sudah disepakati.

Tepat pukul 23:00, malaikat kembali mengunjunginya. Dengan bangganya si Pengarah bertanya, “Apakah esok pagi aku akan pulih? Pastilah banyak yang berdoa buatku, jumlah pekerja aku melebihi 1,000 orang, jadi kalau hanya mencari 50 orang yang berdoa pasti bukan perkara susah”. Dengan lembut si malaikat berkata, “Anakku, aku sudah keliling mencari suara hati yang berdoa buatmu tapi sampai saat ini baru 3 orang yang berdoa buatmu, sementara waktumu tinggal 60 minit lagi. Rasanya mustahil kalau dalam waktu terdekat ini ada 50 orang yang berdoa buat kesembuhanmu.”

Tanpa menunggu reaksi dari si Pengarah, malaikat pun menunjukkan layar besar berupa TV; siapa 3 orang yang berdoa untuknya.. Di layar itu, terlihat wajah duka dari sang isteri, disebelahnya ada 2 orang anak kecil, putera puterinya yang berdoa dengan khusyuk dan ada titisan air mata di pipi mereka.

Kata malaikat, “Aku akan memberitahumu, kenapa Tuhan memberimu peluang kedua. Itu kerana doa isterimu yang tidak putus-putus berharap akan kesembuhanmu.”

Kembali terlihat di mana si isteri sedang berdoa jam 2.00 subuh. “Tuhan, aku tahu kalau selama hidupnya suamiku bukanlah suami atau ayah yang baik! Aku tahu dia sudah mengkhianati pernikahan kami, aku juga tahu dia tidak jujur dalam kerjanya dan kalau pun dia memberi sumbangan, itu hanya untuk ‘popularity’ dan menaikkan namanya saja untuk menutupi perbuatannya yang tidak benar dihadapanMu. Tapi Tuhan, tolonglah lihat pada anak-anak yang telah Engkau berikan pada kami, mereka masih memerlukan seorang ayah. Hambamu ini tidak mampu membesarkan mereka seorang diri.”

Dan setelah itu isterinya berhenti berkata-kata tapi airmatanya semakin deras mengalir di pipinya yang kelihatan cengkung kerana kurang rehat.

Melihat peristiwa itu, tanpa disedari air mata mengalir di pipi Pengarah. Timbul penyesalan kerana selama ini dia bukanlah suami yang baik dan bukan ayah yang menjadi contoh bagi anak-anaknya. Malam ini, dia baru menyedari betapa besar cinta isteri dan kasih sayang anak-anak padanya.

Waktu terus berlalu, waktu yang dimilikinya hanya tinggal 10 minit. Melihat waktu yang semakin sempit, semakin deraslah air mata Pengarah; penyesalan yang luar biasa. Tapi semuanya sudah terlambat! Tidak mungkin dalam 10 minit ada 47 orang berdoa untuknya.

Dengan sedihnya dia bertanya, “Tiadakah antara pekerjaku, kaum kerabatku, teman kerjaku yang berdoa untukku?” Jawab Malaikat, “Ada beberapa orang yang berdoa untukmu. Tapi mereka tidak ikhlas, bahkan ada yang mensyukuri penyakit yang kau deritai saat ini. Itu semua kerana selama ini kamu mementingkan diri, sombong, menganiaya pekerja, kejam, ego dan bukanlah pihak atasan yang baik. Bahkan kau sanggup memecat pekerja yang tidak bersalah dan yang tidak setimpal dengan kesalahannya.” Si Pengarah tertunduk lemah dan pasrah kalau malam ini adalah malam terakhir buatnya. Dia meminta sesaat lagi untuk melihat anak dan isteri yang setia menjaganya sepanjang malam.

Airmatanya bertambah deras, ketika melihat anaknya yang sulung tertidur di kerusi hospital dan isteri yang kelihatan letih juga tertidur di kerusi sambil memangku anak bongsu.

Ketika waktu menunjukkan pukul 24:00, tiba-tiba malaikat berkata, “Anakku, Tuhan melihat air matamu dan penyesalanmu! Kau tidak jadi meninggal kerana ada 47 orang yang berdoa untukmu tepat jam 24:00.” Dengan hairan dan tidak percaya, si Pengarah bertanya siapakah 47 orang itu. Sambil tersenyum malaikat menunjukkan satu tempat yang pernah dikunjunginya bulan lalu.

“Bukankah itu Pusat Asuhan Anak Yatim?”, kata si Pengarah perlahan. “Benar, anakku, kau pernah memberi bantuan bagi mereka beberapa bulan yang lalu, walau pun aku tahu tujuanmu saat itu hanya untuk mencari populariti saja dan untuk menarik perhatian kerajaan dan pelawat luar negeri.” “Pagi tadi, salah seorang anak pusat asuhan tersebut membaca di surat khabar bahawa seorang Pengarah terkena ‘stroke’ dan sudah 7 hari berada di ICU. Setelah melihat gambar di surat khabar dan yakin orang yang sedang koma itu adalah kamu, orang yang pernah menolong mereka dan akhirnya anak-anak yatim di Pusat itu sepakat berdoa untuk kesembuhanmu”, kata malaikat.

Doa sangat besar kuasanya. Kita malas. Tidak ada waktu. Beban untuk berdoa bagi orang lain. Ketika kita mengingat seorang sahabat lama/keluarga, kita fikir itu hanya kebetulan saja padahal seharusnya kita berdoa untuknya. Mungkin saja pada saat kita mengingatinya, dia di dalam keadaan memerlukan doa dari orang-orang yang mengasihaninya.

Di saat kita berdoa bagi orang lain, kita akan mendapat kekuatan baru dan kita boleh melihat kemuliaan Tuhan dari peristiwa yang terjadi. Hindarilah perbuatan menyakiti orang lain…..sebaliknya perbanyaklah doa buat orang lain.

Kerana pahlawan sejati, bukan dilihat dari kekuatan fizikal dan hartanya, tapi dari kekuatan hatinya. Katakan ini dengan perlahan, ‘Ya Tuhan saya mencintai-Mu dan memerlukan-Mu, datang dan terangilah hati kami sekarang…..!!!

ADAKAH ADA YANG MENDOAKAN KITA ??

.:: DIDIKAN KEKELUARGAAN ::..


..hari nie nk share tntg pendidikan kekeluargaan, ia utk masa dpn smua...

“ setiap anak dilahirkan atas fitrah, maka kedua ibubapanyalah yang menyahudikannya atau menasranikannya atau memajusikannya”


berikutan hadith diatas, dapatlah disimpulkan bahawasanya setiap anak yang lahir itu, ibubapalah penentu siapakah anak itu pada masa hadapan, adakah ia akan memtaati Allah atau akan mensyirikkan Allah.
kita sebagai orang Islam, tidak dapat tidak mestilah mendidik anak mengikut acuan yang telah Islam tetapkan, berlandaskan syariat Islam, agar zuriat yang lahir itu bisa membanggakan Rasulullah s.a.w. seperti sabdanya :
“Kahwinlah perempuan-perempuan yang keturunan banyak anak, sesungguhnya aku berbangga dengan ramainya umatku di hadapan para Nabi pada Hari Kiamat nanti.”
setiap ibubapa mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menjadikan sesebuah keluarga itu di dalam keredhoan serta dalam rahmat, kasih sayang Allah.
pendidikan kekeluargaan itu sebenarnya adalah sebuah institusi yang bertanggungjawab melahir, mendidik, mengasuh dan membesarkan seorang manusia yang mana ia akan menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa serta Negara.
sehubungan dengan itu, hakikat sebenarnya, keluarga adalah sekolah pertama untuk memberi didikan kepada generasi baru, ibubapa dan ahli keluarga yang lebih tua pula berperanan dan bertanggungjawab sebagai ejen penyerap ilmu kepada setiap ahli keluarga untuk menjadi individu yang berkualiti.
menurut Gilbert Highest (1961) : “kebiasaan yang dimiliki oleh anak-anak sebahagian besarnya terbentuk daripada pendidikan keluarga”.
ini adalah disebabkan anak-anak memiliki kondisi tanpa daya dan kemampuan untuk berkembang.
Perlu diingati, pada dasarnya, pendidikan keluarga harus dibuat tanpa kekerasan. ia perlu dibuat dengan lembut untuk memudahkan penerimaan nilai-nilai baru kepada anak-anak yang masih mentah dan untuk mencegah penyelewengan berlaku kepada mereka.
pendidikan kekeluargaan di dalam Islam bermula pada didikan anak-anak. anak-anak hendaklah diberi pendidikan yang sempurna seawal mungkin, bermula dari dalam kandungan lagi. tanggungjawab ibu dan bapa telah wujud sebelum terbentuknya janin. oleh itu, suami isteri hendaklah memberi perhatian dan tumpuan pendidikan sempurna sepenuhnya untuk memastikan anak tersebut menjadi anak yang soleh dan solehah. suami isteri mesti bertanggungjawab untuk menjaga kandungan dari segi kesihatan mental dan fizikal, mengamalkan pemakanan seimbang, makan dan minum dari rezeki dari sumber yang halal dan berkat, mengerjakan amalan-amalan kerohanian seperti membanyakkan membaca al-quran, zikir, melakukan ibadah-ibadah sunat disamping tidak meininggalkan ibadah fardhu yang diwajibkan.
Ketika isteri mengandungkan bayi, si bapa pula mempunyai peranannya yang tersendiri. Bekerjalah dengan penuh amanah, bertanggungjawab dan ikhlas demi mendapatkan rezeki yang halal untuk keluarga mereka. Sesungguhnya keberkatan lahir dari makan minum yang berpunca dari rezeki yang halal. Oleh itu para ibu bapa hendaklah sentiasa berhati-hati dan berwaspada setiap masa dalam pekerjaan. Tunaikan kerja dengan penuh dedikasi dan amanah demi memperoleh rezeki yang berkat dari sumber yang halal. Rezeki yang diberi makan kepada anak itulah yang akan menjadi darah daging yang akan membesarkan anak-anak . Jika sumbernya halal dan berkat, mudah-mudahan anak-anak yang bakal dilahirkan akan menjadi anak-anak soleh yang dapat membahagiakan hidup kedua-dua ibu bapa. Di samping itu apabila anak-anak telah diberi pendidikan sempurna mengikut syariat Islam, apabila besar mudah-mudahan mereka akan menjadi anak yang soleh.apabila anak itu telah dilahirkan, tanggungjawab ibu dan bapa bertambah lagi, mereka bertanggungjawab sepenuhnya dalam proses menanam jiwa agama. Pemilihan ibubapa sebagai orang yang bertanggungjawab adalah kerana ibubapa telah Allah anugerahkan naluri keibubapaan, naluri kasih sayang dan naluri kebertanggungjawaban. ibubapa yang beriman akan mencorakkan anak yang beriman dan begitulah sebaliknya.
beberapa bentuk pendidikan keluarga terhadap jiwa agama melalui kaedah asasi,

1. ikatan akidah
melalui ikatan ini penekanan harus diberikan pada pengajian Tauhid, fardhu Ain, al-Quran dan al-Hadith. kerana ilmu-ilmu ini adalah sangat penting dalam kita mengenal Allah dengan lebih mendalam untuk mendapat redhoNYA.

2. ikatan kerohanian
melalui ikatan ini pula ia berkisar pelaksanan Ibadah wajib, memperbanyakkan amalan sunat, zikrullah, tilawah al-Quran serta mengimarahkan masjid.

3. ikatan pemikiran
melalui ini pula, penyediaan harus diberikan kepada aspek-aspek berikut, penyediaan pengetahuan tentang isu atau ideologi atau masalah semasa. penyediaan buku-buku bacaan yang baik, ruang untuk perbuncangan serta pemantauan pergerakan.

4. ikatan bimbingan
pergaulan yang baik dirumah, contoh teladan yang baik, nasita dan bimbingan, denda dan hukuman serta pemerhatian dan pengawasan itu penting dalam memastikan kelangsungan pendidikan yang telah dilalui hasil didikan ibubapa.

Terdapat pelbagai kesan yang positif yang kita boleh dapati jika kita melakukan pendidikan kekeluargaan mengikut acuan Islam dan kesan negatif apabila pendidikan kekeluargaan tidak berlandaskan Islam.

Wallahu`alam.