Kadang kala dikenali dengan al-Mu’attalah kerana: Mereka merupakan golongan yang menafikan Sifat Allah yang Qadim atau Allah hanya mempunyai Zat sahaja. Dinamakan mereka al-Wa’idiyyah kerana konsep al-Wa’d wa al-Wa’id menjadi salah satu daripada dasar mereka yang lima. Yang mana bagi mereka Allah wajib melakukan yang baik serta terbaik terhadap makhluknya. Al-Qabriyyah juga adalah nama bagi Muktazilah adalah kerana mereka menafikan ada azab kubur serta soalan Munkar dan Nakir. Antara alasan mereka ialah, ia tidak logik atau bercanggah dengan akal waras, seperti Malaikat Munkar dan Nakir yang besar tidak mungkin berada di dalam kubur yang sempit.
Terdapat perselisihan di kalangan sarjana Islam, kenapa mereka dinamakan Muktazilah. Menurut kajian al-Baghdadi, mereka dinamakan Muktazila kerana keadaan mereka terpencil daripada pendapat Islam yang umum. Mereka berpendapat, apabila seseorang melakukan dosa besar, hukumannya adalah antara iman dan kufur iaitu dia tidak beriman dan tidak pula kafir.
Muktazilah, suatu mazhab akidah yang memberi keutamaan kepada akal hingga akal memainkan peranan penting dalam menentukan hukum agama. Golongan ini menggunakan logik akal sebagai hujah, khususnya dalam memahami Al-Quran, Al-Sunnah serta untuk menangani isu akidah.
Memang ada hadith rasul yang menekankan bahawa, “Tidak ada agama bagi orang yang tidak berakal”. Namun akal manusia tidak dapat mengatasi perintah Allah dan Rasul kerana manusia dan akalnya dicipta oleh Allah. Adalah dipercayai bahawa konsep pegangan kaum Muktazilah menyelinap ke dalam akidah Islam akibat perbuatan orang-orang yang memeluk agama Islam dengan tujuan buruk.
Hal ini boleh berlaku sesudah Khalifah Al-Makmun mengizinkan kitab-kitab tamadun Yunani diterjemah ke dalam bahasa Arab. Maka fikiran ahli falsafah Yunani seperti Aristotel dan Plato dapat dipelajari oleh para cendekiawan Islam hingga tanpa disedari fikiran mereka bercampur baur dengan konsep kepercayaan Islam Yang Maha Suci.
Orang yang pertama dikaitan dengan Mazhab Muktazilah dikatakan bernama Wasil Bin Atha. Pada awalnya golongan ini tidak terlibat dalam pergolakkan politik. Namun, penglibatan mereka bermula apabila ada usaha dikalangan mereka yang mempengaruhi khalifah supaya berpegang pada fahaman mereka. Mereka berjaya menarik beberapa khalifah menjadi pengikut. Ketua-ketua negara itu juga bersedia membela dan menyebarkan fahamannya kepada rakyat. Antara khalifah yang mengikut fahaman ini adalah khalifah al-Makmun dan al-Muktasim.[1]
Wasil Bin Atha berasal dari kota Madinah daripada keturunan Mawali, bukan Arab. Setelah itu beliau berpindah ke Basrah dan tinggal disana sehingga ke akhir hayatnya. Sewaktu di Basrah beliau berguru dengan Hassan al-Basri, seorang ulama terkenal yang mendokong aliran Sunnah. Wasil bersetuju dengan Hassan al-Basri yang menyokong aliran Qadariyah iaitu mengenai kebebasan manusia bertindak. Setelah itu beliau tidak bersetuju dengan gurunya itu apabila gurunya menyatakan hukum orang yang melakukan dosa besar
Katanya jika pelaku dosa besar itu mati dan tidak sempat bertaubat sewajtu hidupnya dia masih dianggap seorang Muslim, tetapi Muslim munafik, dan di hari akhirat dia akan dimasukkan ke dalam neraka kerana dosanya itu. Setelah itu barulah di masukkan ke dalam syurga kerana Islamnya. Mendengar kata-kata ini Wasil dan pengikut-pengikutnya terus keluar kerana tidak bersetuju dengan gurunya itu. Berikutan peristiwa ini wasil dan rakan-rakannya di gelar Muktazilah ertinya orang yang mengasingkan diri.[1]
Sebenarnya, fahaman Muktazilah berpengaruh di kalangan beberapa orang khalifah selama kira-kira 300 tahun hingga ramai ulama yang enggan menyokong pendapat mereka menjadi mangsa penderaan dan hukuman yang zalim, di antaranya termasuklah Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Malik dan lain-lain.
Oleh kerana akal dianggap lebih utama daripada nas Al-Quran dan Hadith Rasul, maka ayat-ayat Al-Quran ditafsir menurut fahaman mereka sendiri. Bahkan hadith rasul ditolak jika kandungnya tidak selaras dengan logik fikiran mereka. Hakikatnya tidak dinafikan kedudukan penting akal manusia dalam urusan agama, tetapi tidak memberi tempat utama kepada akal berbanding dengan firman Allah dan hadith Rasul.
Memetik pandangan Ahl Sunnah, kekuatan akal manusia berbeza di antara seorang dengan seorang yang lain. Pertimbangan akal juga berbeza dari masa ke masa dan dari tempat ke tempat. Misalnya, pada suatu masa dahulu wanita yang mendedahkan auratnya dianggap tidak salah.
Kemudian bila akal manusia tambah maju wanita yang tidak berpakaian dianggap tidak baik, lalu tubuh wanita ditutup. Tetapi akhir-akhir ini wanita separuh tidak berpakaian di tepi pantai tidak dianggap salah.
Sebab itu akal manusia sahaja tidak boleh merumuskan hukum agama. Syariat Allah sahaja yang layak dan wajar membuat ketentuan dalam hukum agama. Akal
memang penting dalam agama. Orang gila memang tidak wajib melaksanakan suruhan agama, tetapi peranan akal hanya untuk menimbang dan meneliti, bukan menetapkan dengan sendirinya hukum agama. Golongan Muktazilah mentafsirkan ayat-ayat al-Quran menurut akal sambil meremehkan nas hadith dan pendapat para ulama muktabar.
Antara perkara-perkara yang menunjukkan golongan muktazilah menggunakan akal adalah dalam peristiwa Isra’ Mikraj. Oleh kerana akal diutamakan dalam urusan agama, kaum Muktazilah menolak peristiwa Israk-Mikraj, Rasullulah s.a.w. yang diperingati oleh umat Islam pada setiap 27 Rejab.[1]
Kaum Muktazilah hanya mengakui peristiwa Israk Nabi s.a.w. dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis, tetapi menolak Mikraj kerana Mikraj Nabi s.a.w. ke langit berlawanan dengan akal dan logik mereka.
Sebahagian ulama Muktazilah berpendapat bahawa Israk dan Mikraj berlaku dengan roh Rasulullah sahaja. Dan untuk menyokong pendapat mereka mencipta suatu hadith palsu kononnya Siti Aisyah pernah berkata beliau tidak pernah kehilangan tubuh Rasulullah s.a.w. sejak beliau menjadi isterinya.
Sebenarnya jika kita teliti firman Allah Taala dalam surah Israk, dapatlah difahami bahawasanya memang Allah Taala telah membawa Nabi itu sendiri untuk bertemu dengannya bukan hanya rohnya bahkan jasadnya sendiri.
Kalau difikir secara logiknya sekalipun, andainya baginda melakukan Israk Mikraj dengan rohnya sahaja tentulah kaum musyrikin tidak menentang hebat peristiwa itu dan menuduh baginda berdusta serta menyifatkan peristiwa itu sebagai kisah dongeng.
Selain dari itu, riwayat dari Siti Aisyah yang dibawa oleh kaum Muktazilah itu nyata palsu kerana Israk Mikraj berlaku setahun sebelum hijrah. Ketika itu isteri pertamanya baginda yakni Siti Khadijah telah wafat dan baginda berkahwin dengan Siti Saudah sebelum kahwin dengan Siti Aisyah.
Ini bererti ketika berlaku Israk Mikraj, Rasulullah tidak semestinya berada di rumah Siti Aisyah tetapi mungkin berada di rumah Siti Saudah. Maka adalah mustahil Siti Aisyah boleh berkata seperti yang dilaporkan oleh kaum Muktazilah itu pada hal Rasulullah s.a.w. tidak setiap hari berada di rumah Siti Aisyah.
Selain dalam peristiwa golongan Muktazilah menolah Mikraj nabi, kaum muktazilah berfatwa bahawa apa yang disebut sebagai Arasy dan Kursi Allah tidak wujud. Mereka menafsirkan Arasy dan Kursi sebagai lambang kekuasaan Allah sahaja.
Tafsiran seperti ini membuktikan bahawa kaum Muktazilah memahami urusan agama lewat akal mereka semata-mata. Sebaliknya ulama dari Ahli Sunnah berpendapat bahawa pa yang dikatakan Arasy dan Kursi Allah itu wujud kerana disebut oleh Allah di dalam Al-Quran, walaupun bentuk dan keadaannya diketahui oleh Allah sahaja.
Penerimaan golongan ini terhadap azab dalam kubur. Mereka berkata bahawa azab di dalam kubur tidak ada kerana hal itu mustahil menurut akal. Sebaliknya, pada hakikatnya azab kubur itu wujud dan wajib dipercayai oleh setiap mukmin berdasarkan nas al-Quran dan al-Hadith. Seperti firman Allah Taala dalam surah At-Taubah ayat 101. kaum Muktazilah menolah hakikat azab di dalam kubur kerana terlalu bergantung pada akal dalam hal ehwal agama pada hal hakikat ketuhanan dan alam ghaib tidak boleh ditimbang dengan akal yang skopnya amat terbatas.
Meskipun golongan ini salah dalam mentafsirkan ayat-ayat Allah kerana menggunakan akal semata-mata tetapi golongan ini telah memberi sumbangan pada masyarakat dalam ilmu sains, yakni merekalah yang telah memperkenalkan ilmu ini yang mana ilmu ini adalah memerlukan akal untuk mengetahui dengan lebih mendalam.
No comments:
Post a Comment