Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar..
Bergema takbir di seluruh pelusuk dunia tanggal 1 syawal 1430H yang lepas, menandakan seluruh umat Islam telah bersama-sama bersyukur serta memuji tuhan yang Esa atas nikmat kemenangan yang di perolehi.
Segala puji-pujian selayaknya bagi Allah Taala, Tuhan sekalian Alam, yang telah menciptakan kita dan mampu membinasakan kita, kesyukuran padanya kerana kita masih diberikan nikmat yang teramat besar, nikmat iman dan islam yang mana dua nikmat ini Allah mampu menariknya hanya dengan kerlipan mata. Selawat dan salam buat penghulu nabi-nabi juga kekasih Allah Taala, Muhammad S.A.W. buat sahabat-sahabat serta ahli bait baginda jua yang mana mereka ini di jamin ke syurga, berdoalah agar diri kita insan yang lemah dan hina ini mampu mengikut jejak langkah mereka, yakni bersama-sama di dalam syurga-NYA.
Sebulan yang lepas, kita berada di dalam bulan yang penuh barakah, di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu malam seperti firman Allah Taala di dalam Surah Al-Qadr ayat 3 yang bermaksud : "MALAM LAILATUL-QADR LEBIH BAIK DARIPADA SERIBU BULAN"
Pada bulan ini, kita bersungguh-sungguh menghidupkan malamnya dengan tarawikh, tadarrus, serta berqiamullail, di siangnya kita berpuasa dengan menahan lapar dan dahaga, menjaga nafsu syahwat, memperbanyakkan sedekeh, membaca al-Quran serta memperbanyakkan melakukan amalan sunat yang lain di samping amalan fardhu yang di lakukan dengan penuh kekhusyukkan.
Maka, apabila berakhirnya bulan tersebut, takbir bergema di seluruh pelusuk untuk memuji kebesaran illahi serta untuk menunjukkan rasa kesyukuran atas nikmat kemenangan menghadapi bulan Ramadhan.
Islam meletakkan garis panduan yang jelas dalam meraikan atau merayakan kemenangan ini iaitu dengan istiqomah dengan amalan yang dilakukan pada bulan ramadhan, sentiasa membasahkan lidah dengan zikrullah, mengunjungi sanak-saudara serta islam melarang pembazirah. Seperti firman Allah Taala di dalam surah Al-Isra ayat 27 yang bermaksud :" SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG MEMBAZIR ITU ADALAH SAUDARA SYAITAN SEDANG SYAITAN ITU ADALAH MAKHLUK YANG SANGAT KUFUR KEPADA TUHANNYA".
Akhirnya, khusus buat adik beradik PERMAS sekalian, marilah kita bersama-sama bermuhasabah diri serta terus meningkatkan amalan kita agar kehidupan kita sentiasa di dalam keredhoan-NYA. Akhir kalam, saya mewakili saf kepimpinan PERMAS mengucapkan “SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR DAN BATIN”, teruslah bersama kami dalam merealisasikan slogan PERMAS “Memipin Ke Arah Perubahan”. Sekian. Wasalam.
No comments:
Post a Comment