About

Saturday, July 1, 2023

Travelog haji Sarah ~ hari 5



28/6/2023 adalah hari kelima kami di haramain. Masih dalam ihram dan masih dalam perjalanan menyempurnakan haji kami.

Dari Muzdalifah, kami berjalan kaki menuju ke Jamarat iaitu tempat melontar jamrah. Selepas mabit di Muzdalifah, para hujjaj kena sempurnakan melontar jamratuo aqabah atau disebut jamrah al-kubra. Perjalanan dari Muzdalifah ke jamarat ini lebih kurang 10 km. 

Disini pun ada ujian sendiri. Kerana ia dapat digambarkan suasana manusia di akhirat kelak saat dibangkitkan dari kubur. Mereka berlari ke satu arah iaitu padang mahsyar. Tapi kami hujjaj bergerak untuk sampai ke jamarat. Penuh dengan manusia. 

Rezeki kami, kami bersama dengan seluruh manusia serata dunia. Kami tidak bersama “geng” Malaysia. Dapat saya lihat, ada yang berdarah-darah. Ada yang dah tak larat bawa barang, campak aje tinggal, maybe pada mereka “asal aku selesai haji aku.” Ada yang anak-anak mereka sudah menangis-nangis. Ada yang orang tua sudah hampir putus asa. Ada juga yang sudah hilang sabar. Itu juga boleh dikaitkan dengan suasana akhirat nanti. 

Dari hati yang dalam, saya sangat rasa bersyukur pada Allah. Dalam keadaan kesusahan begitu, sudah hampir 25 km kami berjalan kaki, saya doa Allah hadirkan pertolongan yang saya ingini tetapi tidak sampai. Tetapi Allah beri saya suami. Beliau berkorban bawa beg beliau dan saya. Beliau tidak benarkan langsung saya bawa. Hanya perlu jalan sahaja. 

Menangis saya kerana baiknya Allah. Jika saya bukan orang berfikir, saya pasti tidak melihat bahawa suami itu adalah pertolongan Allah. Kami cuba bebaskan diri dari rombongan. Saya katakan pada suami, kita bersama berdua ya. Kita susah senang bersama. Suami angguk.

Maka, apabila kami penat. Kami berhenti sambil bermuhasabah. Ada waktu kami singgah di sink air sejuk, untuk minum dan membasahkan kepala kami. Basah lencun tudung saya, tapi bertahan hanya 5-7 minit sahaj selepas itu kering. Ketika menaip ini mengenangkan kembali khidmat bakti dan pertolongan suami, saya insaf. Bahasa cinta beliau begitu istimewa. Selalu sahaja mengharukan saya. 

Apapun semua itu dari Allah. Sempat saya berfikir, bagaimana keadaan saya sekiranya Allah panggil beliau dahulu. Begitu banyak tugas kami berkongsi. 50 beliau 50 saya. Beliau tidak lokek memberi bantuan tenaga. Walau kadang kena suruh 3,4 kali.. hehe.

Sampailah kami di jamarat. Berkaca mata saya pada suami. MasyaAllah. Sampai juga kami. Kami melalui jamrah ula, seterusnya jamrah wusto dan barulah sampai jamrah kubro. Dan kami pun membuat balingan 7 kali. Bismillahi allahuakbar baling. Bismillahi allahuakbar baling lagi. Dan seterusnya. Usai baling ke tujuh, kami mengadap kiblat dan mula berdoa. Antaranya lailahaillallah wahdahula syarikalah, lahu mulku walahuhamdu wahuwa ala kulli syaiin qadhir 3x dan diikuti doa kami.

Selesai jamrah aqabah. Kami bertapak lagi, 5kg sebelum kami dapat teksi. Oh ya.. kami balik dulu. Sebelum mabit di Mina. 


No comments: