About

Sunday, July 2, 2023

Travelog haji Sarah ~ hari ke 8

Menunggu isyak di kawasan masjidil haram extension
Menunggu solat maghrib di jalanan menuju masjidil haram


Rombongan kami memilih tahalul awwal. Dan nafar awwal. Bagi yang memilih nafar thani hari ini 1/7/2023 adalah waktu mereka melakukan tawaf ifadhah selepas mereka melakukan jamrah kali ke tiga.

Hari ini kami ke masjidil haram menaiki bas. Bas ini percuma. Setelah sampai, kami menaiki teksi sapu dengan 5 riyal seeorang. Sampai di area jabal omar, polis sudah tutup laluan. Menjadikan kami tidak dapat masuk masjid. Kami hanya solat di atas jalanan sahaja. 

Usai solat maghrib kami masuk dalam jabal omar mencari makan. Tapi saya tidak. Hanya segelas mocha ais sahaja. Keluar dari situ, kami pergi berjalan dan berusaha hendak masuk masjidil haram. Dengan izin Allah kami hanya dapat masuk masjidil haram kawasan extension sahaja. Alhamdulillah. Tidak mengapa. Allah nak bagi peluang merasai kawasan itu. Duduk seketika menunggu isyak. 

Usai isyak, kami bergerak mencari jalan memasuki masjidil haram. Kami disini adalah saya dan suami. Suami saya tidak mahu bertawaf. Saya perlu sebab syarat wajib sempurna haji adalah tawaf ifadhah. 

Pengalaman tawaf ini begitu berharga. Lautan manusia terlalu ramai. Dihimpit. Ditolak. Tetapi tetap utuh khusyuk meminta kepada Allah azzawajal. Di banyak keadaan, saya dikepung oleh jemaah lelaki. Kerana kebiasaannya jemaah perempuan alan angkut “geng” tidak pada saya. Tidak mengapa. Allah ada untuk turunkan pertolongannya saat saya memerlukan. Dan saya merasainya. 

Ada satu keadaan berhimpit, saya seperti kehilangan oksigen. Berdoa memohon nasrullah. Dan alhamdulillah, Allah membuka jalan ada kosong disebelah. Dan dapat merasai udara sejuk aircond. MasyaAllah. La haw la wala quwwataillabillah.

Selesai saya tawaf ifadhah. Saya melakukan solat sunat berhadapan dengan multazam. Ketika ini Allah menghantar jemaah menjaga saya sedang solat. Supaya orang tidak pijak saya. Bacaan doa saya diakhiri dengan lailahaillallah wah dahulah syarikallah lahu mulku wa lahu hamdu wahuwa ala kulli syaiin qadhir. 

Selesai itu menghubungi suami. Dan kami pulang ke tempat penginapan dengan seorang di caj 20 riyal. Alhamdulillah. Atas kesempatan hari ini.


Travelog haji Sarah ~ hari 7




30/6/2023 penutup Jun adalah 12 Zulhijjah. Malam hari kami mabit di Mina. Ketika ini kami seperti gelandangan. Kami ada khemah di Mina. Tetapi kami memilih untuk berulang alik ke jamrah dari tempat penginapan kami di Huzaifah. Walau berulang alik mabit di Mina adalah wajib. Jika tinggal kena dam. Kerana ada rombongan kami yang ada musyaqqah, malam pertama mabit di Mina kami terlepas. Maka, kami kena bayar dam. Dam boleh bayar insyaAllah. Moga Allah ampuni kami dan terima haji kami. Yakin! Kerna itu juga sebahagian dari ujian.

4 jam 31 minit kami perlu duduk d mana-mana kawasan Mina. Kami pun join geng arab, sudan, indonesia dan semua lah yang duduk-duduk tepi-tepi tu. Seperti gelendangan. Beberapa kali halau polis untuk bangun. Bermaksud beberapa kali kami ubah tempat. Lucu. Tetapi best. Sehinggalah kami lihat seperti polis ingin menutup tempat jamrah bahagian bawah. Berlari kami masuk ke kawasan jamrah. Bukan tak boleh naik atas, tapi jauh. Saya okey je. Tapi memikirkan ahli rombongan yang lain kita ikut sahaja.

Kami buat gabungan melontar. Melontar untuk 11 zulhijjah dan 12 zulhijjah. Jadi, di kawasan contohnya jamrah sughra, kami lontar 7 biji. Rehat kejap. Kami lontar lagi 7 biji. Begitulah dengan tempat-tempat jamrah yang lain. 

Alhamdulillah selesai 42 biji. Terasa sayu sahaja berjalan meninggalkan jamrah ini. Apakah aku ada peluang lagi? Ya Allah sampaikanlah aku lagi ke sini. Aameen.

———
Hari yang sama kami sampai tempat penginapan jam 3 lebih pagi. Menunggu subuh 4.15 pagi, kemudian melelapkan mata. Jam 9 pagi sudah bersiap untuk ke masjidil haram melaksanakan rukun/wajib haji terakhir tawaf ifadhah.

Selepas tawaf. Bermula solat jumaat. Maka sempurnalah haji bagi suami dan ahli rombongan kecuali saya dan mutawif. 



Saturday, July 1, 2023

Travelog haji Sarah ~ hari 6


29/6/2023 hari ini bermula mabit di Mina. Mabit di Mina berbeza dengan Mabit di Muzdalifah. Jika di Muzdalifah kita boleh untuk berada hanya seketika, tetapi mabit di Mina mestilah berada 1/3 malam atau melebihi sebahagian malam. Musim panas disini 9 jam malam. Maka kalau ambil melebihi sebahagian malam ia bersamaan 4 jam 30 minit. Jadi kita tambah 4 jam 31 minit sudut bertepatan dgn “melebihi sebahagian malam”. Setelah mabit, proses melontar pasa hari 11 bermula. 

Hari 11 Zulhijjah melontar jamrah soghir, diikuti jamrah wusto dan diakhiri jamrah kubro. Ketiga-tiga tempat ini dibaling 7 biji. Pada setiap tempat selepas balingan, disunatkan untuk berdoa. Kerana itulah yang dilakukan baginda Nabi saw. Saya lihat tidak ramai yang lakukan. Tapi yang lakukan Alhamdulillah.

Pada hari ini suami dan rombongan jemaah lelaki pergi pusat penyembelihan. Alhamdulillah saya dan suami masing-masing melunaskan tanggungjawab kami menyahut seruan Allah taala untik melakukan penyembelihan. Disini, suami pilih sendiri kampung. Kemudian bawa kambing tu sendiri ke tempat sembelih. Comel. Macam duk kawal anak aje gayanya. 

Pada diri saya yang kerdil dan banyak kekurangan ini, saya menjadikan ibadan korban sebagai perkara “wajib” pada diri sendiri. Ini sebagai kemuncak rasa syukur saya pada Allah atas nikmat rezeki wang ringgit, kerjaya dan sebagainya selama  setahun diberikan. Memang korban di Mekah ini jauh lagi mahal, dan asalnya saya tidak mahu berkorban kerana telah mengerjakan haji dan sudah dikeluarkan jumlah wang yang besar. Tetapi atas rasa syukur tinggi pada Allah kerana memilih saya untuk sampai menjadi duyufurahman dengan rezeki yang saya kira melimpah, saya keluarkan duit. Bismillah. Aku ikhlaskan duit ini utk korban padaMu. 

Alhamdulillah. Sebelum kami keluar mabit di Mina masing-masing dapat rasa sup kambing.




Travelog haji Sarah ~ hari 5



28/6/2023 adalah hari kelima kami di haramain. Masih dalam ihram dan masih dalam perjalanan menyempurnakan haji kami.

Dari Muzdalifah, kami berjalan kaki menuju ke Jamarat iaitu tempat melontar jamrah. Selepas mabit di Muzdalifah, para hujjaj kena sempurnakan melontar jamratuo aqabah atau disebut jamrah al-kubra. Perjalanan dari Muzdalifah ke jamarat ini lebih kurang 10 km. 

Disini pun ada ujian sendiri. Kerana ia dapat digambarkan suasana manusia di akhirat kelak saat dibangkitkan dari kubur. Mereka berlari ke satu arah iaitu padang mahsyar. Tapi kami hujjaj bergerak untuk sampai ke jamarat. Penuh dengan manusia. 

Rezeki kami, kami bersama dengan seluruh manusia serata dunia. Kami tidak bersama “geng” Malaysia. Dapat saya lihat, ada yang berdarah-darah. Ada yang dah tak larat bawa barang, campak aje tinggal, maybe pada mereka “asal aku selesai haji aku.” Ada yang anak-anak mereka sudah menangis-nangis. Ada yang orang tua sudah hampir putus asa. Ada juga yang sudah hilang sabar. Itu juga boleh dikaitkan dengan suasana akhirat nanti. 

Dari hati yang dalam, saya sangat rasa bersyukur pada Allah. Dalam keadaan kesusahan begitu, sudah hampir 25 km kami berjalan kaki, saya doa Allah hadirkan pertolongan yang saya ingini tetapi tidak sampai. Tetapi Allah beri saya suami. Beliau berkorban bawa beg beliau dan saya. Beliau tidak benarkan langsung saya bawa. Hanya perlu jalan sahaja. 

Menangis saya kerana baiknya Allah. Jika saya bukan orang berfikir, saya pasti tidak melihat bahawa suami itu adalah pertolongan Allah. Kami cuba bebaskan diri dari rombongan. Saya katakan pada suami, kita bersama berdua ya. Kita susah senang bersama. Suami angguk.

Maka, apabila kami penat. Kami berhenti sambil bermuhasabah. Ada waktu kami singgah di sink air sejuk, untuk minum dan membasahkan kepala kami. Basah lencun tudung saya, tapi bertahan hanya 5-7 minit sahaj selepas itu kering. Ketika menaip ini mengenangkan kembali khidmat bakti dan pertolongan suami, saya insaf. Bahasa cinta beliau begitu istimewa. Selalu sahaja mengharukan saya. 

Apapun semua itu dari Allah. Sempat saya berfikir, bagaimana keadaan saya sekiranya Allah panggil beliau dahulu. Begitu banyak tugas kami berkongsi. 50 beliau 50 saya. Beliau tidak lokek memberi bantuan tenaga. Walau kadang kena suruh 3,4 kali.. hehe.

Sampailah kami di jamarat. Berkaca mata saya pada suami. MasyaAllah. Sampai juga kami. Kami melalui jamrah ula, seterusnya jamrah wusto dan barulah sampai jamrah kubro. Dan kami pun membuat balingan 7 kali. Bismillahi allahuakbar baling. Bismillahi allahuakbar baling lagi. Dan seterusnya. Usai baling ke tujuh, kami mengadap kiblat dan mula berdoa. Antaranya lailahaillallah wahdahula syarikalah, lahu mulku walahuhamdu wahuwa ala kulli syaiin qadhir 3x dan diikuti doa kami.

Selesai jamrah aqabah. Kami bertapak lagi, 5kg sebelum kami dapat teksi. Oh ya.. kami balik dulu. Sebelum mabit di Mina. 


Friday, June 30, 2023

Travelog haji Sarah ~ hari ke 4

Keadaan dalam khemah kami di Arafah

Ini rombongan wanita kami. Di Arafah waktu malam. Waktu siang tak dak gambar.

Ini adalah tilam yang disediakan pada kami ketika di Arafah. Kecil sahaja tapi ok Alhamdulillah selesa. Saya letak kain batik- hygiene hehe
Ini lunch kami di Arafah. Nampak biasa je. Tapi sedap sangat. Alhamdulillah.
Ni gambar kami dah malam. Masih di Arafah baru bangkit tidoq masing2 hehe
Ini pula gambar kami ketika mabit di Muzdalifah. 


Hari ke 4.

Sememangnya jika tiada kesusahan tidaklah ia dinamakan haji kan. Kesusahan yang dilalui ini saya niatkan ia menjadi saham untuk mendapat haji yang mabrur.

Kerana kami haji furada, tempat kami bersama orang-orang furada seluruh negara. Kami ditempatkan dikhemah yang lain bukan khemah kami pada asalnya. 

Alhamdulillah makanan disediakan. Bahkan berlebihan. Cuma toiletnya jauh. Toilet yang dekat, portable. Saya kurang minat. Rezekinya tilam saya depan aircond. Alhamdulillah.

Owh ya, hari ini 27/6/2023 kami menyempurnakan kemuncak haji iaitu wukuf di Arafah. Bahkan doa ketika wukuf diangkat oleh Allah taala. Jika doa itu baik untuk kita, Allah akan makbulkan pada waktu dann masa yang Allah rasakan terbaik buat kita.

Panas ketika wukuf ini sangat luar biasa. Bahangnya masyaAllah. Falsafah wukuf ini adalah gambaran kecil keadaan kita di padang mahsyar. Jika padang mahsyar mataharinya sejengkal dari kepala, di wukuf jauh di atas langit sana. Tapi, yang jauh melangit sana itu tetap terasa bahangnya. Semua orang hidup tidak senang. Ada yang sudah buka tudung (dalam khemah), ada yang sudah tunjukkan perangai pentingkan diri dan sebagainya. Insaflah saya melihat situasi “kelam kabut” semua orang. Kerana ketika kiamat berlaku semua orang akan kelam kabut dengan diri masing-masing.

Golden hours ketika wukuf itu saya cuba habis baik manfaatkan. Memulakan bacaan doa dengan membaca doa yang dikirimkan oleh sanak saudara, adik beradik dan kawan-kawan. Alhamdulillah. Tertunai permintaan semua. Berzikir dan bersilraturrahim dengan semua yang ada dalam khemah. 

Wukuf ketika kami dari jam 12.03 tengahari sehingga jam 7.03 malam. Oh ya sekarang musim panas. Jadi siangnya lebih panjang. 

Kami usaha berdoa diluar khemah. Tapi tiada tempat yang sesuai sebab sekitar kami terlalu kotor dengan sampah. Jadi jalan terbaik yang dirasakan tenang untuk berkomunikasi dengan Allah adalah dalam khemah. 


Selesai wukuf. Kami solat maghrib dan isyak. Dan menunggu untuk mabit di Muzdalifah. Jam 12 malam kami bergerak ke Muzdalifah untuk menyempurnakan wajib haji. Kami berjalan dari Arafah ke Muzdalifah. Sampai sana. Pakat solat tahajud dan mula mengutip batu untuk jamrah. Kemudian menunggu subuh. 


Tuesday, June 27, 2023

Travelog haji Sarah ~ hari 3

Hari ketiga kami di bumi Makkah (26/6/2023)

Hari ini aktiviti kami di tempat penginapan. Ia bagi memberi ruang berehat sebelum memulakan ibadah haji.

Kami akan pergi selama 5 hari. Maka persiapan pakaian dan beg khas dilakukan. 

Ujian Allah hadir apabila saya dilanda sakit kepala yang teramat sangat. Puas tidur bangun tidur. Buh papermint dan bam. Ubat homeopathy juga. Detik2 akhir nak berangkat kepala masih belum pulih, dengan niat kerana Allah saya pun makan actifast, bismillah.

Selang beberapa minit perut memulas. Dan CB. Dan begitulah kalau makan panadol. Badan saya tidak sesuai. Tetapi itu ikhthiar terakhir saya. Alhamdulillah ketika menaip blog ini, sakit kepala beransur ok.

Jam 6 kami keluar ke tempat pengumpulan. Disini kami menunggu sehingga bas kami sampai untuk bawa kami ke Arafah.

Cuaca? 36’c panas dan angin kering. InsyaAllah okey semua. Ikhlaslah kerana Allah.

Masih sabar dan tenang dengan zikrullah menunggu turn kami naik bas. 

Duk dalam kawasan menunggu bas. Hotel sebenarnya.
Sedang menunggu teksi untuk ke pusat pengumpulan utk menaik bas ke Arafah
—————————————

Monday, June 26, 2023

Travelog haji Sarah ~ hari 2






25.6.2023 bersamaan 6 Zulhijjah 1444H iaitu hari kedua kami berada di Mekah.

Memulakan hari ini dengan subuh dibilik. Kemudian sarapan pagi. Pastu berehat. Ada berzikir, ada baca al-Quran, ada pack baju untuk ke Arafah dan ada yang baca buku. Yang terakhir itu saya lah.

Rencananya hari ini kami hendak tunaikan tawaf qudum dan Saie haji. Kami memilih sebelah petang. Jadi dari hotel kami naik van. Kemudian van turunkan kami dan kami pun berjalan masuk ke masjidil haram.

Perasaan yang sama. Alhamdulillah, masyaAllah. Bersyukur direzekikan lagi untuk sampai ke rumah Allah ini. 

Selesai tawaf qudum, azan maghrib. Memang selepas solat akan ada solat jenazah. Selepas maghrib, kami hendak terus saie haji. Kebetulan ketika mencari suami, terjumpa kawannya. Maka saya lah penunjuk arah ke kawannya.

Habis jumpa kawan suami, kami pergi jumpa kawan saya pula. Iaitu di permulaan bukit Safa. Maka bermulalah kami melakukan saie. Sempat bergambar dan beri kiriman suaminya.

Kemudian kami teruskan saie. Sehingga pada kali kelima kami terus stop kerana azan kedengaran. Menghormati azan sekaligus sebenarnya refleksi untuk diri kita, apakah kita mampu tinggalkan urusan dunia yang lain demi menyahut seruan Allah utk solat? Sekalipun urusan agama iaitu saie? 

Selesai solat isyak, kami sambung saie. Setelah selesai bergerak kami di tempat menunggu.

Ketika sedang menulis di blog ini, kami sedang “tersidai” sambil menunggu dua orang dari rombongan kami yang masih belum kelihatan. Apapun, Alhamdulillah terima kasih Allah atas nikmat ini. 

Sunday, June 25, 2023

Travelog Haji Sarah ~ hari 1









Alhamdulillah 24.6.2023 telah berangkat saya bersama suami untuk menyempurnakan rukun Islam ke 5, menunaikan haji di Baitullah.

Jam 1 lebih tengahari kami sudah sampai ke KLIA. Terus check in. Selepas itu, pergi lunch dengan mak, anak2, adik2, adik2 ipar dan anak menakan. Usai lunch, jama zohor asar. Kemudian menanti mak mertua dan adik ipar sampai sebelum kami bergerak masuk ke dalam.

Jam ketika itu pukul 4.10 petang. Selesai urusan dan masuk kenperut kapal terbang jam 5.30 petang. Dan jam 5.40 kapal terbang sudah mula bergerak untuk meninggalkan KLIA.

Perasaan berdebar dan terharu bercampur baur. Laibakallah humma labai labaikala syarikalakalabbaik.

Kami naik Saudia Airline. Alhamdulillah kami miqat haji dan ihram. Maka jadilah kami haji ifrad. Nak buat haji qiran. Its okey.

Alhamdulillah kami sampai airport Jeddah jam 2.00 pagi waktu Malaysia bersamaada. Jam 9.51 waktu Jeddah. 

Ketika menaip di blog ini kami sedang menuju ke penempatan kami. Yang jaraknya 50km dari airport. Alhamdulillah ala kulli hal.